Tuesday, August 9, 2016

MAHATHIR KETAGIH?



Memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun menyebabkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menghidap sindrom Pasca Perdana Menteri iaitu ke­tagih untuk terus memerintah.

Awang Azman Awang Pawi

Felo Penyelidik Kursi Nusantara, Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, menjadi pe­mimpin utama negara untuk satu tempoh masa yang lama menyebabkan sikap memberi arahan sudah menjadi begitu sebati dalam dirinya.

Menurut beliau, cara terbaik untuk berhadapan dengan Dr. Mahathir ketika ini adalah dengan semua pihak perlu melupakan beliau dan memberi tum­puan membantu kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sikap Dr. Mahathir yang tidak dapat menahan diri untuk mencampuri urusan pentadbiran negara ada kaitan dengan tempoh masa beliau menjadi Perdana Menteri. Kita semua perlu lupakan beliau jika mahu terus ke hadapan.

“Bukan semua ke­putusan yang beliau cadangkan betul, lihat sahaja apa yang berlaku pada rancangan E-Village Malaysia yang sehingga kini belum nampak hasilnya. Kita semua manusia biasa tiada siapa yang sempurna, masa Dr. Mahathir sudah berlalu sekarang kita perlu menyokong Najib sebagai pemimpin utama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Najib dalam temu bual eksklusif bersama portal berita Indonesia, Metro TV News.com, baru-baru ini berkata, Dr. Mahathir obses mengenai kawalan dan mahu menentukan dasar kerajaan walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ayahanda-ayahanda Negeri Perak, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, setiap pemimpin mempunyai acuan pentadbiran tersendiri mengikut keadaan politik, sosial dan ekonomi semasa.

Katanya, Najib sebagai seorang pemimpin yang sudah lama dalam pentadbiran pasti mempunyai cara tersendiri untuk memajukan negara ini dan apa yang diperlukan ketika ini adalah beri peluang kepada beliau untuk melakukan tugasnya.

“Mana-mana pemimpin pasti tidak selesa jika setiap keputusan yang dibuat perlu mengikut arahan daripada pihak lain, bagaimana jika arahan tersebut tidak mendatangkan manfaat sudah tentu perlu ditolak.

“Saya berharap Dr. Mahathir menjauhkan diri daripada pentadbiran negara dan gunakan masa terluang untuk bersama keluarga atau mendekatkan diri dengan agama,” ujarnya.













No comments:

Post a Comment