Saturday, August 27, 2016

UMNO KAPAR MINTA SALLEH SIASAT CEO CELCOM ORANG ASING



KLANG 27 Ogos – UMNO Selangor hari ini menuntut supaya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Bhd. dilantik daripada kalangan rakyat Malaysia dan bukan warganegara asing.


Ketua UMNO Bagaian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin berkata, berkuatkuasa 1 September ini, syarikat milik kerajaan (GLC) itu akan dipimpin oleh Michael Kuehner bagi menggantikan Datuk Seri Shazalli Ramly.

“Saya kecewa, selama ini kita yang merancang dan membina pembangunan negara serta melahirkan ramai teknokrat yang berjaya memimpin GLC.

“Namun hari ini, masih ada yang tidak beri ruang dan pandang rendah kepada kita apabila GLC Celcom pada 1 September ini akan dipimpin oleh CEO asing.

“Apa kurangnya rakyat Malaysia? Tidak adakah orang Malaysia yang mampu memimpin syarikat telekomunikasi itu sehingga perlu melantik rakyat asing?" katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Persidangan UMNO Bahagian Klang, di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nasaruddin menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak  menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan segara.

“Saya tidak tahu sama ada Menteri Komunikasi dan Multimidea celik atau tidak atau buat-buat tidak tahu. Saya harap beliau buka mata dan telinga.

“Kita tidak mahu Celcom senasib dengan Malaysia Airlines (MAS) yang dipimpin oleh rakyat asing tetapi kemudiannya cabut lari dan kita pula yang terpaksa mencuci ‘najisnya’,” ujarnya.

Tambah Nasaruddin, beliau telah meminta Idris untuk membawa perkara itu ke mesyuarat MT UMNO untuk dibincangkan.

“Saya meminta supaya perkara itu dibawa ke mesyuarat MT UMNO kerana tidak mahu isu tersebut dipolitikkan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment