Sunday, August 21, 2016

SEMUA KENA SERAH KPD PRESIDEN UMNO

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Pemimpin Umno Terengganu menyambut baik saranan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi kepercayaan kepadanya untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

Ketua Pemuda Umno negeri Johari Abu Bakar berkata semua pihak haruslah berlapang dada dan memberi kepercayaan kepada perdana menteri untuk membuat keputusan supaya Terengganu menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"Apa yang berlaku sebelum ini (kemelut politik) adalah pertelingkahan biasa seperti adik beradik yang tidak memberi kesan yang besar, ia diibaratkan seperti ribut dalam cawan, tetapi ribut dalam cawan ini kalau dibiarkan akan membawa ribut yang besar.

"Jadi Umno Terengganu perlu serahkan kepada presiden sepenuhnya untuk membuat keputusan bagi menguatkan lagi Umno di Terengganu.

"Marilah kita bertaut kembali dan kita perlu mentaati ketua... apabila keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti, kita perlu akur, yang penting parti kita kuat," katanya kepada Bernama, di sini Ahad.

Pada Sabtu ketika berucap pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu
, Najib berpesan supaya anggota Umno menghentikan pergeseran sesama sendiri dan perlu memberi kepercayaan kepadanya untuk menangani kemelut politik di Terengganu.

Selain itu, Johari turut berpendapat bahawa pendekatan yang diambil oleh Najib untuk menyelesaikan kemelut tersebut dengan cara 'syura' merupakan langkah terbaik.

Ketua Umno Bahagian Setiu Datuk Mohd Jidin Shafie berkata usaha dan pendekatan yang dilakukan oleh Najib tersebut juga memberi kekuatan kepada pemimpin Umno negeri untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Segala nasihat yang diberikan oleh presiden parti merupakan nasihat yang penuh makna, penuh dengan pengertian yang sangat mendalam untuk kita terus memperjuangkan Umno sebagai satu wadah.

"Kehadiran presiden ke negeri ini juga memberi kita semangat dan kekuatan terutamanya dalam soal perpaduan dan ketaatan kepada pemimpin yang kita harapkan ia dijadikan iktibar ... marilah kita jadikan semua ini sebagai satu kekuatan untuk terus berjuang dalam Umno khususnya bagi menghadapi PRU14," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment