HULU TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Jailani Johari mengingatkan anggota dan pemimpin parti supaya jangan alpa dan memandang remeh penubuhan parti baharu oleh bekas pemimpin UMNO.
Beliau berkata mereka harus bekerja lebih kuat sebagai satu pasukan bagi memastikan pengaruh parti baharu itu kelak tidak menular khususnya di Terengganu.
"Saya menyeru kepada semua pihak (pemimpin) dan anggota UMNO supaya tidak leka dan memandang remeh akan penubuhan parti itu dan kita haruslah lebih bekerja kuat," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak selaku Bendahari UMNO.
Jailani yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia bagaimanapun yakin parti baharu itu tidak akan berkekalan dan akan berkubur.
"Saya yakin parti baharu tersebut akan terkubur pada PRU14 (pilihan raya umum ke-14) nanti seperti yang pernah berlaku kepada parti Semangat 46," katanya.
Jailani berkata kekuatan UMNO bergantung pada keupayaan mempertahankan perpaduan dan menyelesaikan segala kemelut dalam parti walau sekecil mana sekalipun.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment